Siswa Mendalami Kehidupan Warga Emas Di Pusat Jagaan Warga Tua Mercy Seremban

4th December 2018 | 65 views | 296 photos

SEREMBAN, 19 November 2018- Atas keinginan untuk mendekati dan menyelami kisah warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan warga tua, seramai 21 orang siswa-siswi Kolej Teknologi Alpha bersama dengan Ketua Eksekutif Kolej Dr. Hamzaid@Abah dan  Pensyarah Komunikasi iaitu, Madam Zaiton Binti Haji Talib, Dr. Wan dan Sir Zaheril mengambil kesempatan mengunjungi Pusat Jagaan Warga Tua Mercy.

Terdiri daripada para pelajar yang mengambil kursus Perhubungan Awam di bawah subjek Komunikasi, mereka menunjungi pusat jagaan ini yang terletak di Taman Ideal, Seremban. Pada masa kini, seramai 40 orang warga emas pelbagai latar belakang yang ditempatkan di sana secara sepenuh masa.

Menurut pengarah program, Eric Dave Sipin, 24, pelajar Fakulti Pentadbiran Perniagaan, mereka memilih untuk mengunjungi rumah warga tua kerana ingin menunjukkan mahasiswa prihatin dengan warga emas, berkomunikasi untuk mendengar keluhan mereka, dan mewujudkan sikap sayang kepada warga emas. Seterusnya, memupuk kesedaran kepada pelajar dan orang lain untuk menjaga ibu bapa kelak.

Sepanjang program ini, pelajar mengambil pengalaman membantu kakitangan menjalankan aktiviti rutin seperti senaman, berbual-bual dan menghiburkan warga emas ini. Pelajar juga berpeluang mendengar sendiri kisah para penghuni yang banyak memberikan pengajaran kepada pelajar khususnya menghargai ibu bapa. Fokus utama pelajar adalah menghiburkan warga tua. Antara aktiviti yang dijalankan iaitu mewarna, dan karokae. Selain itu, pelajar turut membuat aktiviti gotong-royong di luar rumah untuk memastikan keceriaan dan keselesaan para penghuni. Malah, pelajar juga menemani warga tua untuk makan tengah hari sambil bercerita pengalaman mereka kepada pelajar. Di penghujung aktiviti, mahasiswa memberikan sumbangan barangan makanan kepada pusat jagaan warga tua dan Dr. Hamzaid menyampaikan “Godies” kepada setiap warga emas.