Program ini adalah kerjasama antara Universiti Utara Malaysia dan Kolej Teknologi Alpha.
Program Pentadbiran Perniagaan dibentuk dan diperkembangkan setelah mengambilkira dan meneliti program-program yang seumpamanya di luar negara mahupun dalam negeri. Kursus-kursusnya diadun dan disesuaikan dengan keperluan domestik dengan tujuan untuk menghasilkan para siswazah yang arif tentang budaya perniagaan dan persekitaran pentadbiran di Malaysia. Program ini diolah supaya dapat memberi pengetahuan yang mendalam di dalam bidang pengurusan perniagaan kepada para pelajar. Hasratnya ialah untuk melahirkan golongan profesional yang cemerlang yang dapat menterjemahkan teori kepada amalan dan seterusnya berkebolehan mengenalpasti dan menyelesaikan masalah-masalah pengurusan di peringkat setempat dan global.
Program Pengurusan Perniagaan ditubuhkan untuk mencapai objektif-objektif berikut: Untuk memastikan para pelajar dapat mempraktikalkan apa yang mereka belajar dengan sepenuhnya di dalam persekitaran kerja. Menghasilkan para pelajar yang lebih matang, berdedikasi, serba boleh dan lebih pengalaman di dalam dunia perniagaan. Meningkatkan status program BBA yang mampu menghasilkan pelajar yang berkualiti, berilmu dan berbakti. Program ini juga menyediakan asas yang kukuh kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah lanjutan samada dalam bidang Pengurusan atau bidang-bidang lain yang berkaitan.
Struktur bagi program ini terdiri daripada beberapa kursus teras yang menekankan aspek Pengurusan, Pemasaran, Undang-Undang, Perakaunan, Statistik, Komputer dan pendedahan kepada Kaedah Penyelidikan. Buat masa ini, program yang ditawarkan ini tidak memberi pilihan pengkhususan. Oleh yang demikian, kursus-kursus elektif telah dipilih berdasarkan permintaan industri dan kepentingan pembangunan diri individu.
Program ini diharapkan dapat melahirkan siswazah-siswazah yang berketrampilan, proaktif dan dapat memikul tugas-tugas sama ada sebagai seorang pengurus, perunding, pentadbir atau usahawan profesional yang berkaliber, berkesan, cekap, berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
Komponen | Jam Kredit |
---|---|
Teras Universiti | 22 |
Teras Program | 83 |
Elektif Program | 23 |
Jumlah Keseluruhan | 128 |